Friday, June 18, 2010

HILANG KEPERCAYAAN HILANGLAH SEGALA-GALANYA

1.Masyarakat kita kebelakangan ini hangat memperkatakan tentang gejala berlompat-lompatan yang sedang berlaku di kalangan wakil-wakil rakyat kita. Secara tiba-tiba di sana ada orang melompat. Dan di sini pula ada yang ikut sama. Seronok umpama berpestalah mereka yang terlibat. Tetapi rakyat macam mana?

2.Semasa berkempen untuk memikat hati rakyat calon memberitahu rakyat yang dia adalah wakil partinya. Dia akan membawa perjuangan yang dibawa oleh partinya. Semasa berpidato musuh-musuhnya diserang habis-habisan. Rakyat bersorak : inilah jaguh kami. Lalu dia menang dan jadilah dia wakil rakyat. Wakil untuk apa? Wakil untuk melaksanakan janji-janji yang telah ditabur kepada rakyat.

3.Tiba-tiba,tanpa diduga olek rakyat wakil rakyat ini meninggalkan partinya. Maka peninglah rakyat dibuatnya, siapa kawan siapa lawan tidak dapat dipastikan lagi. Yang dipilih oleh rakyat calon juga partinya. Kerana itulah yang dijaja ke hulu dan ke hilir siang dan malam.

4.Kalau dah tak mampu, eloklah berundur. Biar rakyat memilih orang lain yang mampu melaksanakan janji.

5.Kekuatan yang ada pada sesebuah parti politik adalah jauh lebih besar daripada kekuatan yang ada pada mana-mana ahli parti politik itu. Sebab itu calon bebas tidak dapat bersaing dengan calon-calon yang mewakili parti. Rakyat memang arif akan kebenaran ini.

6.Berseronok juga ada batasannya. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan kepada prinsip demokrasi. Apabila rakyat menolaknya akan huru-haralah masyarakat kita. Harus kita ingat bahawa sesuatu institusi itu hanya dapat berfungsi jika ianya dipegang oleh rakyat. Kita ikut undang-undang kerana kita percaya orang lain juga akan mengikutnya. Kalau semua orang percaya yang semua orang tidak akan ikut undang-undang, maka semua orang tidak akan ikut undang-undang.

No comments:

Post a Comment